Wednesday, July 15, 2015

Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara Kita


Usaha-usaha Mengekalkan Keamanan Negara Kita

 

Tajuk: Semasa negara lain di dunia mengalami ketidaktenteraman berikutan masalah peperangan, Malaysia tetap berjaya mengekalkan keamanan sosial, ekonomi, dan politiknya. Keadaan itu banyak didorong oleh usaha pelbagai pihak dalam mengekalkan keamanan negara.

 

Berdasarkan pernyataan tersebut, berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan negara kita.

 

Contoh Karangan:

 

Malaysia merupakan sebuah syurga dunia kerana kejadian buruk jarang berlaku di sini terutama ancaman bencana alam dan peperangan. Rakyatnya hidup dalam suasana aman sentosa bersama-sama arus pembangunan kemodenan yang pesat. Keamanan inilah yang memberikan imej yang positif kepada negara sehingga menjadikan banyak negara cemburu akan kejayaan tersebut. Jadi, memang banyak tindakan yang telah dilakukan oleh semua pihak di negara ini untuk memastikan negara terus berada dalam situasi harmoni itu.

 

Tindakan yang paling ketara ialah negara telah meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya. Angkatan tentera negara ini telah cuba menarik lebih banyak remaja yang berkaliber untuk menyertai perkhidmatan mereka bersama-sama dengan pembelian peralatan ketenteraan yang serba canggih. Semua ini bertujuan memastikan tahap keselamatan negara berada pada tahap yang tertinggi lalu menjamin keamanan negara yang stabil. Jelaslah, negara menjadi aman kerana memiliki satu ketumbukan tentera yang berkaliber dan berteknologi tinggi.

 

Selain itu, negara turut membuat kerjasama yang erat dengan Negara-negara jiran terutama negara-negara ASEAN. Kita semua sedia maklum bahawa ASEAN ditubuhkan untuk menjamin keselamatan serantau lalu memastikan perkembangan ekonomi boleh berlaku pada masa yang sama. Kerjasama yang erat ini juga memastikan setiap negara ASEAN tidak mahu menganggu urusan dalaman satu sama lain untuk memastikan tidak berlaku perselisihan faham yang boleh membawa permusuhan yang mengoyahkan keamanan pula. Jadi, kerjasama erat antara negara-negara jiran membantu Malaysia untuk menikmati satu tahap keamanan yang tinggi..

 

Malah, keamanan negara juga dikekalkan menerusi amalan demokrasi yang dilaksanakan di negara ini apabila tempoh pemerintahan kerajaan sebelumnya hamper tamat. Pilihanraya dan proses pertukaran pemimpin di negara ini masih berjalan secara rasional dan mengikut lunas-lunas perlembagaan negara yang mengutamakan hak asasi rakyat. Keadaan ini menjadikan keyakinan rakyat terhadap system pemerintahan kerajaan bertambah baik setiap kali proses demokrasi itu dilaksanakan. Jelaslah, proses demokrasi yang diamalkan menjadikan aspek keamanan itu sesuatu yang penting untuk dikekalkan di negara ini.

 

Malahan, pihak kerajaan juga telah meneruskan usaha pembasmian kemiskinan yang sudah mula menampakkan hasilnya. Jurang kekayaan antara golongan miskin dan kaya telah berupaya dikurangkan sehingga tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk menimbulkan sebarang masalah besar kelak. Perasaan kekitaan dan tidak berasa ditinggalkan menjadi asas penting untuk mengekalkan keamanan di negara ini untuk satu tempoh yang panjang kerana tidak timbul perasaan pilih kasih atau sebagainya dalam jiwa masyarakat berbilang kaum di sini. Maka, usaha mengikis perbezaan pengagihan kekayaan ini harus dilakukan secera berterusan untuk memastikan keamanan itu berkekalan.

 

Tambahan pula, pihak polis telah berjaya memerangi pelbagai gejala sosial yang melanda negara ini. Kejadian jenayah terutama jenayah berat telah dikawal dengan baik oleh pihak polis yang bertugas tanpa mengenal penat untuk memastikan keselamatan rakyat negara ini bertambah baik. Kejayaan mengawal jenayah di negara ini turut sama memberikan satu suasana yang tenang dan meyakinkan kepada rakyat negara ini bahawa Malaysia sebuah negara yang baik untuk terus didiami. Justeru, kejayaan pihak polis menjalankan kewajipan mereka telah menjadikan aspek keamanan di negara ini terus wujud.

 

Kesimpulannya, keadaan keamanan yang sebegini perlu dikekalkan untuk selama-lamanya. Pada masa yang sama aspek pembangunan negara harus diberikan penekanan juga kerana inilah kemodenan yang harus dinikmati oleh semua. Kita harus sedar dan menghargai aspek keamanan ini dengan sebaik mungkin. Peribahasa “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” kerana keamanan ini memerlukan satu usaha yang gigih daripada semua pihak.

Rancangan Hiburan Televisyen Menyebabkan Masyarakat Lupa Tentang Budaya Seni Tradisional


Rancangan Hiburan Televisyen Menyebabkan Masyarakat Lupa Tentang Budaya Seni Tradisional

 

Tajuk: Ada pihak yang berpendapat bahawa rancangan hiburan yang disiarkan melalui televisyen menyebabkan masyarakat lupa tentang budaya seni tradisional. Beri pendapat anda.

 

Contoh Karangan:

 

Televisyen sering dianggap sebagai satu ciptaan moden yang banyak membawa kebaikan kepada manusia pada zaman moden ini. Namun, penyiaran pelbagai rancangan berbentuk hiburan telah menyebabkan ada pihak beranggapan bahawa masyarakat mula meminggirkan budaya seni tradisional pula. Keadaan ini diperkuatkan menerusi kenyatan demi kenyataan pihak media massa yang melihat program hiburan sebegini menghancurkan kebudayaan tempatan seperti tarian dan permainan tradisional. Sesungguhnya, penyiaran rancangan hiburan menerusi televisyen membawa masyarakat melupakan kebudayaan tradisional mereka.

 

Kalau kita kaji secara mendalam kebanyakan rancangan hiburan yang disiarkan itu memaparkan cara berpakaian yang langsung tidak berunsur tradisional. Ada artis terutama dari Barat yang memakai pakaian yang mencolok mata kerana pada mata mereka pakaian sebegini mampu meninggikan lagi populariti seseorang artis itu. Generasi muda yang menonton rancangan hiburan sebegini sudah pasti akan tertarik lalu menganggap cara berpakaian artis itu sahaja yang betul lalu cuba memakainya dalam kehidupan seharian mereka tanpa memikirkan kesan sampingannya. Jelaslah, program hiburan yang disiarkan itu menyebabkan masyarakat kita melupakan cara berpakaian yang seiringan dengan kebudayaan tempatan.

 

Begitu juga penggunaan bahasa dalam rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen telah menyebabkan kebudayaan tradisional kita terjejas. Akibat aspek masa dan cuba menjadikan rancangan hiburan itu lebih menarik, penggunaan bahasa yang rojak dan tidak tepat digunakan secara meluas sehingga menjadikan masyarakat sukar hendak membezakan penggunaan bahasa yang betul. Keadaan ini menyebabkan ada pihak yang menganggap bahasa alam televisyen itu lebih betul berbanding dengan tatabahasa yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di negara ini. Maka, kekeliruan sebegini menjadikan bahasa kebangsaan kita akan diperlekehkan penggunaannya oleh pihak-pihak tertentu sehinga menjejaskan imej kebudayaan tradisional negara kita pada jangka masa panjang pula.

 

Tambahan pula, program berbentuk hiburan itu turut memaparkan pemaparan kesopanan yang bertentangan dengan kebudayaan tradisional kita. Sudah banyak kali kita mendengar komentar masyarakat yang mengaitkan dengan kehilangan adat sopan generasi muda akibat terlalu terpengaruh dengan budaya yang mereka tonton di televisyen itu. Budaya memarahi ibu bapa, bergaduh dengan guru dan mengeluarkan bahasa kesat sudah dianggap biasa kerana masyarakat sering melihat adegan sebegini di televisyen. Jelaslah, masyarakat kita semakin melupakan adat sopan ketimuran yang suatu masa dahulu amat kita banggakan sudah hilang lantaran terlalu banyak menonton adegan yang kurang sesuai di televisyen pula.

 

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

 

Namun, penyiaran program hiburan di televisyen berupaya untuk menghalang pemikiran yang positif dalam diri seseorang itu. Pandangan yang melihat kebudayaan negara itu sendiri sebagai satu kebudayaan yang lemah dan tidak sesuai dengan peredaran zaman dipengaruhi menerusi sikap melihat program hiburan yang keterlaluan itu. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan menimbulkan satu perasaan yang menolak kewujudan kebudayaan tempatan dalam jiwa seseorang tersebut. Jelaslah, program hiburan di televisyen menyebabkan pemikiran seseorang akan berubah lalu memandang rendah kebudayaan tradisional mereka sendiri.

 

Pada masa yang sama, tindakan menyalahkan televisyen seratus peratus bukanlah satu tindakan yang bijak kerana berlakunya sesuatu perkara itu sudah pasti banyak berkaitan dengan faktor yang lain juga. Pinggiran kebudayaan tradisional kita turut disebabkan sikap generasi muda kita yang tidak begitu memandang tinggi kebudayaan tempatan sehingga sanggup meniru kebudayaan lain pula. Kita menganggap kebudayaan negara lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Barat itu lebih moden dan praktikal lalu segera menirunya tanpa merujuk dahulu aspek menghargai kebudayaan sendiri. Maka, kegagalan menghargai negara, bangsa dan kebudayaan sendiri turut menyebabkan kebudayaan tradisional itu semakin lama semakin hilang ditelan zaman.

 

Kesimpulannya, rancangan hiburan yang disiarkan menerusi televisyen itu memang menyebabkan kebudayaan tradisional kita mengalami kemerosotan daripada segi imejnya. Semua pihak terutama pihak berkuasa hendaklah lebih peka untuk membuat peraturan yang mengehadkan penayangan rancangan berbentuk hiburan yang keterlaluan sehingga menjejaskan kebudayaan tradisional kita itu. Kegagalan berbuat demikian dengan segera akan menyebabkan kebudayaan kita terhakis sedikit demi sedikit lalu hilang akhirnya. Bak kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih” membuktikan semua yang berlaku itu berada dalam ketentuan diri kita sendiri.

 

Penulis: Noor Azman Mahat