Saturday, July 26, 2014

LANGKAH UNTUK MENGHIDUPKAN KEHIDUPAN BERMASYARAKAT


 


Pendahuluan:

²  Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah pernah menekankan bahawa kehidupan bermasyarakat merupakan satu ciri signifikan dalam kamus hidup rakyat Malaysia.

²  Malangnya, semangat kehidupan bermasyarakat dan nilai-nilai kemasyarakatan, terutamanya konsep jiran sepakat membawa berkat dalam kalangan masyarakat kita semakin terhakis.

²  Menurut beliau, mereka hidup berkonsepkan enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing.

²  Pandangan beliau ini memang tidak dapat disangkalkan lagi kerana rakyat kita tidak merasakan diri mereka bertanggungjawab untuk mengetahui keadaan sekitar rumah mereka sama ada rumah jiran dimasuki pencuri, anak jiran menghidu gam, isteri jiran curang, anak jiran menjadi mangsa penderaan ataupun anak gadis jiran lari dari rumah.

²  Jadi, langkah-langkah proaktif dan pragmatik haruslah diambil dalam usaha menghidupsuburkan semangat kehidupan bermasyarakat sebelum kudis menjadi tokak.

      

(I)Kehidupan bermasyarakat dapat diamalkan menerusi semangat kejiranan.

(C)Antara amalan ini termasuklah amalan bertegur sapa sesama jiran, meluangkan masa untuk bertandang ke rumah jiran, menghulurkan bantuan kepada jiran, aktiviti bergotong-royong seperti berderau, perkelahan keluarga, dan aktiviti riadah.

(H)Semangat ini dapat menjalin persaudaraan, mewujudkan keharmonian, memupuk perpaduan, dan melahirkan masyarakat yang prihatin.

(H)Apabila jiran tetangga ditimpa nasib malang, seperti mangsa kebakaran, kita bukan sahaja perlu menyumbangkan wang ringgit malah memberikan sokongan moral.

(H)Dengan ini, konsep berat mata memandang, berat  lagi bahu memikul terpupuk dalam lubuk kalbu masyarakat.

(H)Apabila tanah sawah diusahakan secara berderau, kerja yang berat dapat diringankan bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

(H)Lebih-lebih lagi, bertandang ke rumah jiran tetangga pada hari perayaan mahupun kenduri perkahwinan dapat menjalin tali persahabatan yang erat.

(K)Dengan erti kata lain, semangat kejiranan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat mewujudkan kehidupan bermasyarakat.

 

(I)Sistem hidup bermasyarakat juga dapat dihidupsuburkan melalui majlis-majlis sosial dan perayaan.

(H)Kegiatan-kegiatan sosial dapat memupuk konsep bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat dan ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam kalangan penduduk setempat.

(C)Antara aktiviti kemasyarakatan yang menekankan konsep hidup bermasyarakat termasuklah Hari Keluarga, Rumah Terbuka, dan sebagainya.

(H)Dalam hal ini,  masyarakat tidak seharusnya melibatkan ahli-ahli keluarga sahaja, sebaliknya haruslah meluaskan skopnya dengan membabitkan seluruh masyarakat setempat, sanak saudara, dan sahabat handai.

(H)Dalam menjayakan majlis-majlis tersebut, semua anggota masyarakat berganding bahu menyediakan juadah dan minuman, mendirikan tenda, dan menyusun atur kerusi meja untuk tetamu.

(H)Dalam situasi inilah, rakyat dapat berinteraksi dan berkomunikasi sekali gus mempererat tali silaturahim antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, agama, adat, dan kepercayaan, di samping memeriahkan suasana majlis ataupun perayaan lagi.

(K)Pendek kata, aktiviti-aktiviti sosial perlu diperbanyak dan dipergiat demi menyuburkan budaya bermasyarakat dalam kalangan warga desa mahupun warga bandar.

 

(I)Selain itu, budaya hidup bermasyarakat dapat dipupuk melalui didikan agama dan moral.

(H)Dalam masyarakat Melayu tradisional, umpamanya, fungsi dan tanggungjawab jiran dianggap penting dari segi agama.

(H)Hal ini dikatakan demikian kerana agama menegaskan keperluan yang dipikul bersama oleh semua anggota masyarakat bagi menunaikan sesuatu ibadat.

(C)Ketika menyambut Hari Raya Aidiladha ataupun Hari Raya Korban, umat Islam menggembleng tenaga untuk menyembelih korban untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

(H)Dari perspektif yang lain pula, semangat kejiranan dapat diterapkan melalui didikan moral.

(H)Dalam konteks ini, pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk dan menyemaikan semangat bekerjasama dan bertolak ansur dalam kalangan warga sekolah.

(C)Melalui kempen gotong-royong, warga sekolah bukan sahaja akan membantu menceriakan pekarangan sekolah malah menjalin tali ukhuwah antara satu sama lain.

(H)Dengan ini, kehidupan bermasyarakat akan menjadi sebati atau menjadi darah daging masyarakat kita.

(K)Pendek kata, didikan agama dan moral yang mantap dalam sanubari masyarakat juga merupakan uslub yang berkesan untuk menyuburkan amalan kehidupan bermasyarakat di negara kita ini.

 

(I)Akhir sekali, masyarakat sendiri perlu mempunyai kesedaran untuk berubah.

(C)Dalam mencipta satu resipi makanan misalnya, kita memerlukan bahan yang benar-benar berkualiti bagi hasil yang memberangsangkan.

(H)Begitu juga dengan amalan kemasyarakatan yang ingin dibentuk, kita memerlukan unit masyarakat yang syumul dan mahukan perubahan.

(H)Nescaya, kerjasama dan sinergi yang ampuh antara ahli masyarakat amat diperlukan bagi memanifestasikan sebuah komuniti yang bersatu.

(H)Janganlah menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

(H)Malah, hasil kajian Jabatan Perpaduan Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri merupakan faktor utama kelunturan semangat kemasyarakatan.

(K)Izharlah bahawa sesebuah organisasi masyarakat itu perlu bersedia melakukan anjakan paradigma demi kebaikan bersama.

 

Penutup:

²  Sebagai intiha, kehidupan bermasyarakat dapat menjadi realiti sekiranya langkah-langkah yang dibincangkan dipraktikkan oleh segenap lapisan masyarakat.

²  Semangat ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan mewujudkan integrasi kaum.

²  Perpaduan kaum akan membolehkan rakyat Malaysia hidup harmoni dan sejahtera, bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

²  Jadi, semua pihak sewajarnya menjadikan kehidupan bermasyarakat sebagai agenda kehidupan demi menikmati kebahagiaan, kemakmuran, keamanan, dan kemajuan.

²  Dengan ada kesedaran ini, bunga-bunga kesejahteraan, kegemilangan dan keharmonian akan mekar di empat pojok di tanah tumpah darah kita.

²  Tidak ketinggalan juga, konsep 1Malaysia dan Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan dan kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa maju yang lain di persada antarabangsa