Penduduk di Lembah Klang terutamanya di
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung kepada 33 loji rawatan yang
beroperasi untuk membekalkan air di ketiga-tiga kawasan ini. Dalam konteks ini,
peranan yang perlu dimainkan oleh pengendali loji rawatan air seperti Puncak
Niaga, Splash dan Konsortium Abass menjadi semakin mencabar bagi memastikan
pengeluaran loji-loji mereka mencukupi untuk membekalkan air kepada 7 juta
pengguna. Kebanyakan loji rawatan air utama yang beroperasi melebihi kapasiti
reka bentuknya. Misalnya loji rawatan air Sungai Langat yang reka bentuk
kapasitinya adalah 386 juta liter sehari (JLH) beroperasi 447.42 JLH iaitu
melebihi 15.9 peratus (%) daripada keupayaan sebenarnya. Demikian juga dengan
loji rawatan air Sungai Semenyih yang kapasiti reka bentuknya 546 JLH telah
beroperasi pada tahap 665.92 JLH iaitu melebihi 22%.
Semua ini berikutan pertambahan permintaan
air yang meningkat pada kadar 3.5% setiap tahun. Jika keadaan ini berterusan
tanpa penaiktarafan atau penyelenggaraan yang rapi, dikhuatiri loji-loji ini
akan mengalami tekanan akibat beban pengeluaran dan boleh menyebabkan ia rosak
pada peringkat-peringkat tertentu dan seterusnya mengakibatkan bekalan air
terputus. Pertambahan jumlah penduduk, pembangunan kawasan-kawasan perumahan
dan perindustrian baru dan sebagainya banyak menyumbang ke arah itu. Situasi
ini jelas menunjukkan jumlah bekalan air bersih yang semakin banyak diperlukan
untuk menampung keperluan yang meningkat ini. Dalam hal ini, syarikat yang
bertanggungjawab untuk mengagihkan bekalan air kepada pengguna di negeri
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu Syabas sudah pasti berhadapan
tekanan yang bukan sedikit untuk mencapai tahap perkhidmatannya yang terbaik
kepada pengguna disebabkan kekangan tersebut.
Hari ini, jumlah permintaan air terawat
adalah sebanyak 4,219 JLH atau hampir sama dengan jumlah yang mampu dibekalkan,
iaitu 4,326 JLH. Ini menjadikan kapasiti rezab hanya pada kadar 2.47%. Dengan
pembangunan yang telah dijangkakan, kemungkinan berlaku masalah kekurangan
bekalan air pada 2014 tidak dapat dinafikan. Senario ini membawa kepada keadaan
di mana sesetengah kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengalami
kekurangan bekalan air bersih terutamanya apabila berlaku sebarang gangguan
kepada bekalan ataupun semasa penggunaan puncak. Beberapa kawasan dikenal pasti
sebagai kawasan water stress terutama yang terletak di lokasi berpenduduk
padat. Walaupun bekalan air disalurkan ke kawasan ini dengan kapasiti sedia ada
sepenuhnya, tetapi keseluruhannya digunakan bagi memenuhi permintaan harian.
Walaupun kebanyakan loji rawatan beroperasi
melepasi kapasiti reka bentuknya, tetapi masih ada loji rawatan yang beroperasi
di bawah kapasiti sebenar. Sebagai contoh, loji rawatan air Sungai Rasa yang
berkapasiti 250 JLH hanya beroperasi ditahap pengeluaran 138.71 JLH sahaja.
Walaupun pengeluaran loji ini boleh dipertingkatkan namun loji rawatan ini
tidak dapat membantu membekalkan air ke kawasan water stress disebabkan tiada
jajaran paip untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan tersebut. Ironinya, loji
rawatan air Sungai Rasa ini terletak di utara Selangor sementelahan kebanyakan
kawasan water stress terletak di kawasan Lembah Klang dan selatan Selangor.
Justeru sistem rangkaian agihan paip perlu dinaik taraf. Pun begitu kelulusan
pihak berkuasa perlu ada untuk kerja kerja ini dilakukan oleh pembekal air,
terutama sekali apabila Perbelanjaan Modal (CAPEX) masih dibekukan sehingga
kini.
Kesan kepada pembangunan
Kita sedia maklum bahawa negara sedang
menjalani proses transformasi di mana usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk
memastikan Malaysia mengalami arus pembangunan mapan dan terancang. Namun
usaha-usaha ke arah pembangunan secara fizikal, termasuk penarikan pelaburan
asing hingga ke arah memastikan tahap kehidupan yang berkualiti tidak akan
terkesan jika kemudahan sepenting air tidak boleh disediakan. Berdasarkan tiga
faktor utama yang dinyatakan, kita tidak boleh menolak kenyataan bahawa krisis
bekalan air boleh berlaku malah kesannya telah dirasai di Lembah Klang. Awal
tahun ini satu gelombang krisis air peringkat pertama melibatkan empat daerah
telah berlaku melibatkan Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat dan sebahagian
Petaling sehingga beberapa hari akibat penyusutan kolam-kolam perkhidmatan
dalam tempuh yang singkat akibat kadar penggunaan tinggi.
Dalam situasi tersebut walaupun loji-loji
rawatan telah meningkatkan pengeluaran ke tahap maksimum, namun peningkatan
paras kolam amat perlahan. Situasi ini telah memberikan kesan secara langsung
terhadap projek projek pembangunan baru. Akibat senario tersebut, dalam tempoh
1 Januari 2012 hingga 12 Mac 2012, sejumlah 75 projek pembangunan tidak dapat
diluluskan oleh Syabas berikutan bekalan air yang tidak cukup untuk menampung
keperluan permintaan sedia ada. Pada masa ini kawasan-kawasan seperti di Kuala
Lumpur, Petaling dan Klang sering menghadapi masalah kekurangan air atau
tekanan rendah kerana kawasan-kawasan ini dibanjiri industri dan mempunyai
kepadatan penduduk yang ramai.
Bayangkan sekiranya situasi ini berterusan
sudah pasti segala perancangan pembangunan akan terencat dan memberi implikasi
bukan sedikit kepada sosioekonomi di negara ini. Apatah lagi Kuala Lumpur dan
Putrajaya merupakan hab ekonomi negara ini. Apa yang dikhuatiri pengguna yang
terpaksa berdepan dengan masalah ini sekiranya tiada tindakan proaktif diambil.
Bila situasi ini terjadi, apakah negara ini masih gah sebagai destinasi
pelaburan terulung? Apakah kualiti hidup yang diuar-uarkan masih relevan dan
realiti? Apakah Malaysia yang mempunyai pelbagai pencapaian di pentas dunia
masih tergapai-gapai mengendalikan isu keperluan asas? Selepas gelombang
pertama krisis dirasai pada awal tahun ini, gelombang kedua krisis bekalan air
di kawasan-kawasan yang tersenarai telahpun berlaku dan ini boleh lebih
memudaratkan jika projek projek pembangunan di kawasan-kawasan tersebut
diteruskan. Maka tindakan tidak meluluskan pembangunan di kawasan-kawasan
tersebut merupakan satu tindakan perlu untuk memastikan bekalan air yang
berterusan.
Langkah penyelesaian
Mengatasi situasi seperti ini memerlukan
komitmen semua pihak dan masing-masing perlu memainkan peranan dengan berkesan.
Ia berbalik kepada pengurusan bekalan air secara pendekatan holistik. Sumber
air perlu dikawal daripada pencemaran selain memastikan ia mencukupi tanpa
bergantung semata-mata kepada faktor cuaca. Tanggungjawab ini bukan sahaja
terletak di bahu pihak kerajaan mahupun agensi-agensi yang
dipertanggungjawabkan seperti Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli,
Lembaga Urus Air Selangor, pengendali loji dan Syabas semata-mata. Lebih
daripada itu ialah sikap orang ramai yang perlu menjaga sungai daripada
pencemaran. Ini penting untuk menjamin kelangsungannya.
Selain itu peningkatan kapasiti pengeluaran
air terawat perlu dilakukan dengan menaik taraf segala infrastruktur pembekalan
air termasuk loji loji rawatan dan sistem agihan iaitu jajaran paip dan
connectivity. Penambahan loji rawatan adalah antara usaha berkesan yang perlu
disegerakan termasuklah pembinaan Loji Rawatan Air Langat Dua yang masih
tertangguh pembinaannya. Semua usaha usaha ini melibatkan kos yang tinggi dan
memerlukan kelulusan pihak berkuasa sama ada Kerajaan Pusat mahupun negeri.
Dalam konteks ini, penyelesaian segera isu isu yang masih tertangguh termasuk
penstrukturan semula industri air di Selangor wajar diberi perhatian serius.
Sehingga persefahaman dan persetujuan di antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan
negeri dan kerajaan pusat dicapai dan dimuktamadkan, situasi pembekalan air di
negeri Selangor, Kuala lumpur dan Putrajaya dikhuatiri akan terus terbelenggu.
Justeru, sempena dengan hari air sedunia
yang disambut diseluruh dunia baru-baru ini, kita berharap satu titik pertemuan
yang positif dapat capai antara kedua-dua pihak bagi memastikan masalah yang membelenggu
industri bekalan air ini dapat dirungkai. Apa yang penting, teras paling utama
terhadap usaha ini perlu difokuskan kepada hak manusia terhadap air bersih dan
kesinambungan kehidupan berkualiti. Sebagaimana air dilihat sebagai penyambung
kehidupan, begitulah juga usaha untuk mengekalkannya.
No comments:
Post a Comment